Fardy Bungga


POLIS berjaya merampas dadah bernilai hampir RM1 juta menerusi Op Sarang selain menahan 74 individu termasuk tiga pelajar sekolah menengah dalam tempoh seminggu berakhir semalam.

Dalam operasi itu, sebanyak 5951.49 gram syabu, ganja (33 gram), ketamin (747 gram) dan pil Eramin 5 (145 gram) dirampas menerusi 20 serbuan berasingan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, lima individu ditahan membabitkan kesalahan mengedar dadah, 14 individu ditahan atas kesalahan memiliki dadah manakala 55 lagi didapati positif dadah.

Katanya, daripada jumlah yang ditahan itu, 61 adalah warga tempatan manakala selebihnya warga asing.

“Sepanjang operasi itu, polis menahan tiga pelajar sekolah menengah dan masing-masing seorang penuntut kolej swasta serta penjawat awam.

“Suspek berusia 15 hingga 56 tahun itu ditahan dalam serbuan di beberapa lokasi seperti Kampung Delima, Kampung Likas dan Kampung Lobou, Manggatal oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, ” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Habibi berkata, tangkapan terbesar membabitkan empat individu yang ditahan mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Katanya, tangkapan lain disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM930,883.50 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar bandar raya sentiasa diperhebat dari semasa ke semasa bagi kesejahteraan dan ketenteraman awam,” katanya.

Sehubungan itu katanya, orang ramai diminta membantu menyalurkan maklumat jenayah berkaitan dadah menerusi Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-529220, 088-529211 atau WhatsApp ke talian 019-2182729.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 12:52 PM
ANTARA individu yang ditahan sepanjang 20 serbuan Op Sarang di beberapa lokasi berasingan sekitar Kota Kinabalu. FOTO ihsan polis