SYED Saleh (tiga dari kanan) bersama jemaah selepas pelancaran Aplikasi Jemaah 1440H. FOTO Yusri Abdul Malek
Yusri Abdul Malek


TABUNG Haji (TH) melancarkan Aplikasi Jemaah 1440H bagi membantu jemaah haji mendapatkan maklumat mengenai permasalahan ibadah haji sehinggalah jadual penerbangan pulang ke tanah air.

Pelancaran aplikasi dibangunkan anak syarikat TH itu disempurnakan Ketua Rombongan Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman i Maktab 82 Hotel Bakkah Al Salah, di Makkah.

Jemaah, Mohd Fahrur Ariffin Amran, 30, berkata, aplikasi itu memudahkan dia mendapatkan maklumat terkini dengan hanya menggunakan telefon bimbit.

Katanya, maklumat yang tersedia juga memudahkan jemaah merujuk persoalan berkaitan ibadah haji dan umrah.

"Sangat berguna untuk memudahkan jemaah membuat rujukan terutama bab ibadah," katanya. Bagi jemaah lain, Norisaadah Sahroni, 43, berkata, dia boleh mengetahui tempat menarik yang boleh dilawati di sekitar Makkah.

"Begitu mudah, maklumat terkini yang pelbagai berada di hujung jari," katanya.

Sementara itu pada majlis sama, sekumpulan 35 jemaah haji yang dikenali sebagai Sahabat Maktab mengambil inisiatif mengutip derma bagi membeli kerusi roda untuk kemudahan jemaah yang tidak mampu berjalan.

Inisiatif itu digerakkan Mazlan Zamry, 53, dari Shah Alam yang mengambil masa dua jam untuk mengumpul derma dalam kalangan rakan sebilik dan jemaah.

"Kami berjaya kumpul SR3,300 dalam tempoh dua jam dan berjaya membeli 11 kerusi roda untuk disumbangkan kepada TH," katanya.

Syed Saleh berkata, usaha Sahabat Maktab itu diharapkan dapat memberi kemudahan kepada jemaah memerlukan dan amal jariah itu berpanjangan.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 1:10 PM