SUSPEK lelaki disyaki meragut barang kemas di Pengkalan Bukit Tengah, Pulau Pinang. FOTO ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan


LELAKI menceroboh dan merentap dua rantai emas milik wanita warga emas dalam kejadian di Jalan Pengkalan Bukit Tengah, Bukit Mertajam, kelmarin.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, mangsa yang berusia 70 tahun sedang makan, manakala suaminya yang berusia 72 tahun sedang berkebun di luar rumah.

Mangsa yang terkejut dengan kejadian itu menjerit meminta tolong dan suaminya yang mendengar jeritan bergegas masuk ke dalam rumah.

Bagaimanapun, suami mangsa ditolak penyamun yang ketika itu cuba meloloskan diri membuatkan dia jatuh serta pitam selain turut retak tulang pinggul kanan, luka siku dan bengkak kepala.

Namun, mujur mangsa sempat melihat nombor pendaftaran dan kereta Perodua Viva dinaiki suspek dan pasangan terbabit kemudian membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil siasatan mendapati mangsa kerugian RM7,000 apabila dua rantai emas termasuk rantai perkahwinannya disamun suspek.

“Susulan daripada laporan mangsa, polis menjalankan Op Cantas dan berjaya menahan tiga suspek berusia 34 hingga 41 tahun dalam tiga serbuan berasingan,” semalam.

“Kita turut merampas surat pajak gadai, telefon bimbit dan juga menemui resit kereta sewa Perodua Viva putih yang dipercayai digunakan suspek ketika menyamun rantai emas milik wanita warga emas sehari sebelum itu,” katanya.

Menurutnya, dengan penahanan semua suspek itu juga, polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 13 kes samun dan ragut di daerah ini.

“Semua suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah serta dadah dan mereka kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 12:01 AM