Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017. Foto Arkib NSTP
Nor Azura Abdul Jalil


KEPUTUSAN sama ada 19 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) perlu membela diri atau sebaliknya dalam kes kematian membabitkan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain akan diketahui Rabu ini.

Hakim Datuk Azman Abdullah dijangka akan memutuskan perkara itu selepas selesai mendengar hujahan kedua pihak pada 8 Julai lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Enam penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka yang kesemuanya berusia 23 tahun dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama-sama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

Bagi pertuduhan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan kes yang bermula pada Januari 2018 itu memanggil 29 saksi pendakwaan untuk memberikan keterangan.

Setiap kali prosiding kes itu berjalan, galeri awam mahkamah akan dipenuhi dengan ahli keluarga tertuduh dan mangsa yang mahu mengikuti perbicaraan kes berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017, dipercayai akibat didera selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 6:38 PM