TAN (dua dari kanan) dan Wan Abdul Latif (dua dari kiri) memeriksa plastik dipercayai dibawa masuk secara haram dari United Kingdom dan Ireland. FOTOHairul Anuar Rahim.
Nurul Amanina Suhaini


LEBIH lima individu dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) lari bertempiaran hingga ada yang tertinggal telefon pintar apabila kawasan perindustrian di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang diserbu, hari ini.

Serbuan sempena Ops Bersepadu Kilang Haram itu turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar Dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon dan media tempatan.

Kawasan itu seperti tapak perindustrian baharu yang tidak tercemar, namun sebaik melangkah masuk, bau seperti najis menusuk hidung dan premis berselerak dengan plastik kotor yang belum dikitar semula.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor yang melakukan siasatan awal mendapati kilang itu melakukan kitar semula plastik yang diimport dari United Kingdom dan Ireland.

Bagaimanapun, Tan berkata, operasi itu dipercayai dilakukan secara haram.

Katanya, kilang itu juga antara tiga lokasi yang diserbu dan pemantauan berterusan dijalankan bagi memastikan isu pencemaran udara di Pasir Gudang tidak berulang sehingga menjejaskan kesihatan penduduk.

“Premis itu pertama kali diserbu dan didapati tiada dalam senarai kilang berdaftar dan berkemungkinan penyumbang kepada pencemaran alam sekitar di Pasir Gudang.

“Kita masih tidak dapat mengesan pemilik premis lagi dan akan ambil pendekatan mengikut undang-undang sedia ada.

“Sehingga kini, kilang itu disita dan operasi dihentikan buat sementara waktu. Kerajaan negeri juga akan memaklumkan kepada kementerian supaya dapat menyekat punca import sisa itu,” katanya pada sidang media selepas operasi itu.

Hadir sama, Pengarah JAS Johor, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.

Tan berkata, pihaknya masih menyiasat tempoh kilang itu beroperasi dan jumlah sisa yang dikitar semula setakat ini.

“Kita juga akan menghantar semula sisa plastik itu ke negara asal mengikut saluran yang betul jika kemasukannya tidak mengikut undang-undang.

“Laluan sisa ini masuk ke sini (Pasir Gudang) juga akan disiasat menerusi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal,” katanya.

Tindakan sita segera dilaksana penguat kuasa Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan notis dikeluarkan mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 6:43 PM