Video sesi temuramah istimewa bersama Tunku Azizah Maimunah yang dimuat naik di saluran Metro TV.
Redzuan Muharam


TUTUR kata lembut dan bersahaja ketika berbicara menjadikan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah disayangi rakyat jelata.

Sikap rendah diri baginda turut menjadikan baginda disanjung hingga sentiasa menjadi tumpuan rakyat yang mahu mengikuti perkembangannya termasuk di laman sosial.

Keikhlasannya ketika berbicara juga dapat dilihat menerusi dua rakaman video sesi temuramah istimewa bersama baginda yang masing-masing mendapat lebih 100,000 tontonan dalam tempoh dua hari selepas dimuat naik di saluran Metro TV.

Menerusi video berdurasi dua minit enam saat bertajuk “Saya juga seorang rakyat,” titah Tunku Azizah, baginda berkongsi detik perkenalannya dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah.

Sementara video bertajuk “Masih masuk ke dapur, memasak,” titah Tunku Azizah Maimunah pula berkisar mengenai menu kegemaran dan cara Sultan Abdullah bersantap serta minat baginda berdua terhadap durian.

Lebih menarik perhatian warganet adalah gaya bersahaja Tunku Azizah Aminah Maimunah yang tidak kekok masuk ke dapur dan memasak bersama cef Istana Negara sekalipun memegang status sebagai Raja Permaisuri Agong.

Menerus video berkenaan, Tunku Azizah Aminah Maimunah turut menunjukkan sisinya sebagai Raja Permaisuri Agong yang berjiwa rakyat ketika membeli durian daripada seorang peniaga.

Rata-rata pelayar meninggalkan komen positif dengan memuji keperibadian dan mendoakan baginda diberi kesihatan yang baik serta dipanjangkan usia.

Salah seorang pelayar yang menggunakan nama Merak Kayangan berkata, Tunku Azizah Aminah Maimunah bukan sempurna sebagai wanita tetapi juga seorang yang berjiwa rakyat.

“Permaisuri bagi saya seorang yang sempurna sebagai perempuan, cantik, tak sombong.

“Apa yang diceritakan dia makan macam kita orang-orang biasa makan, terbaik Tuanku.

“Semoga Tuanku sekeluarga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki,” katanya.

Sementara itu, pelayar bernama Juara Betelgeuse pula berkongsi pengalamannya yang berpeluang merasa hidangan Tunku Azizah Aminah Maimunah ketika di pusat pemindahan banjir.

“Di pusat pemindahan mangsa banjir di Pahang dulu, dapatlah saya merasa sekali air tangan masakan Raja Permaisuri Agong kita ini.

“Rasa nak lagi merasa masakannya itu,” katanya.

Pelayar bernama Rasyid Muhammad berkata, perwatakan Tunku Azizah Aminah Maimunah tidak hanya menunjukkan baginda permaisuri terbaik tetapi juga melambangkan ciri isteri mithali.

“Ini bukan contoh permaisuri terbaik saja tetapi contoh isteri terbaik dan mithali.

“Walaupun berdarah orang putih tapi gaya hidupnya melambangkan kemelayuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 9:22 PM