FOTO hiasan
Farah Suhaidah Othman


SEORANG pengurus syarikat bergelar Datuk ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes mencabul tiga wanita yang hadir untuk temuduga sebagai kerani di sebuah syarikat menjalankan perniagaan perladangan di Medan Gopeng, malam tadi.

Lelaki berusia 65 tahun ditahan di kediamannya di Jalan Pembangunan, Rapat Setia, Ipoh, pada 12.15 tengah malam tadi, selepas ketiga-tiga mangsa membuat laporan polis, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mazuki Mat berkata, pihaknya menerima laporan daripada tiga wanita masing-masing berusia 20 tahun mendakwa dicabul suspek ketika ditemuduga untuk jawatan kerani.

Menurutnya, kejadian cabul didakwa berlaku di pejabat syarikat berkenaan, semalam, namun pada waktu berbeza membabitkan ketiga-tiga mangsa.

“Laporan pertama dibuat mangsa mendakwa pada 12.30 tengah hari di tempat kejadian ketika temuduga dijalankan, pengurus syarikat tidak bertanyakan mengenai soalan berkaitan temuduga atau kerja.

“Suspek juga ada mengambil gambar mangsa ketika temuduga dijalankan selain banyak menghabiskan masa menceritakan hal peribadinya.

“Lelaki berkenaan dikatakan mahu bersalam dengan mangsa, tetapi wanita terbabit menolak namun selepas selesai sesi temuduga, suspek terus menarik tangan mangsa dan bersalam serta memegang bahunya selain cuba memeluk dan mencium mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mazuki berkata, mangsa berjaya mengelak dan terus beredar dari tempat berkenaan dan kejadian itu turut berlaku kepada dua mangsa lain.

“Mangsa kedua pula membuat laporan mendakwa ketika berada di pejabat sama pada 7.45 pagi, suspek bertindak memegang tangan, memeluk dari belakang dan cuba mencium leher mangsa.

“Laporan ketiga diterima daripada mangsa mendakwa ketika sesi temuduga di pejabat sama pada 4.30 petang, lelaki berkenaan memegang tangan dan peha serta memeluk mangsa.

“Mangsa juga mendakwa dicium pada leher, dahi dan pergelangan tangan,” katanya.

Menurutnya, susulan kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota polis menahan suspek di kediamannya untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

“Rakaman percakapan suspek sudah diambil dan lelaki terbabit tidak mengaku melakukan perbuatan itu.

“Polis turut mengambil keterangan anak suspek namun ketika kejadian, anak suspek berada di pejabatnya sendiri dan bukan di pejabat suspek,” katanya.

“Suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan direkodkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 5:15 PM