KEADAAN kereta mangsa yang terbakar. FOTO IHSAN PEMBACA
Garret Dawum


SEORANG lelaki sempat menyelamatkan diri apabila kereta dipandu terbabas dan terbakar di Jalan Penrissen, Kuching, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5.10 pagi, kereta jenis Perodua Viva dipandu mangsa berusia 36 tahun hilang kawalan akibat tayar pecah lalu melanggar penghadang jalan.

Malang terus menimpanya apabila kereta berkenaan mengalami kerosakan di bahagian hadapan lalu terbakar.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, mangsa bernasib baik kerana sempat menyelamatkan diri dengan segera keluar daripada kereta sebaik menyedari bahagian hadapan keretanya mula berasap.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kejadian itu.

“Ketika kejadian, mangsa yang memandu bersendirian dalam perjalanan dari Kem Muara Tuang menuju ke stesen minyak di Batu 7 Jalan Penrissen,” katanya ketika dihubungi.

Alexson berkata, kes masih dalam siasatan dan mangsa sudah membuat laporan polis.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.15 pagi.

“Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati sebuah kereta sedang terbakar di bahagian enjin dan operasi tamat sepenuhnya jam 5.38 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 6:16 PM