AINUL Mardhiah terlena ketika tiba di KLIA, Sepang, Ahad lalu, FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Zanariah Abd Mutalib


“SEJAK sampai Malaysia ni, Ainul banyak tidur. Mungkin dia masih ‘jet lag’.”

Demikian perkongsian bapa Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, mengenai perkembangan bayinya, hari ini.

Ahmad Safiuddin berkata, Ainul yang kini sedang menjalani rawatan susulan di Unit Penjagaan Rapi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagaimanapun tetap aktif.

“Alhamdulillah, Ainul sihat dan stabil. Doktor kata tidak pasti sehingga bila Ainul akan dipantau di HKL,” katanya.

Ainul Mardhiah yang kini berusia 11 bulan tiba di tanah air dari London, Ahad lalu.

Dia dibawa ke London pada 25 Mei lalu untuk menjalani pembedahan kanser ‘Germ Cell Tumor’ di mulut.

Dia menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut pada 10 Jun lalu di Hospital Great Ormond Street, London.

Pembedahan dilakukan sekumpulan pakar bedah dan bius, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway.

Selepas pembedahan itu, Ainul Mardhiah yang awalnya memiliki berat 2.5 kilogram (kg) ketika tiba di London, menunjukkan perkembangan menakjubkan dan beratnya bertambah secara konsisten sehingga 3.1kg.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 6:23 PM