Nurul Hidayah Bahaudin


BARANG kemas dianggarkan bernilai RM700,000 disamun sekumpulan penjenayah di sebuah kedai emas dalam pasar raya di Bandar Seri Putra, Bangi malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Mohd Sabri Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki 8.44 malam tadi.

“Siasatan awal mendapati empat suspek yang memakai topi keledar berpenutup penuh bersenjatakan objek dipercayai pistol dan tukul besi masuk ke premis berkenaan.

“Ketika kejadian, ada tiga pekerja dan enam pelanggan termasuk seorang kanak-kanak dalam kedai itu.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi mendapati tiga suspek bersenjatakan tukul besi masuk ke dalam kedai manakala seorang lagi suspek berkawal di hadapan kedai menggunakan objek dipercayai pistol,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sabri berkata, seorang pengawal keselamatan yang tidak bersenjata tidak dapat berbuat apa-apa kerana takut dengan suspek yang mengacukan objek dipercayai pistol terhadapnya.


Laporan portal berita Harian Metro.

“Kejadian itu berlaku kira-kira lima minit dan suspek dilihat menggunakan laluan pintu utama untuk masuk dan keluar dari pasar raya terbabit.

“Dianggarkan barang kemas bernilai RM700,000 dilarikan suspek,” katanya yang memaklumkan tiada pekerja dan pelanggan kedai emas berkenaan cedera dalam kejadian itu.

Beliau berkata, premis itu mula beroperasi sejak tiga tahun lalu dan difahamkan kejadian samun berkenaan pertama kali berlaku sepanjang tempoh beroperasi.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Redzuan Mat Salleh di talian 019 2714100,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kedai emas terbabit disamun sekumpulan penjenayah menyebabkan pengunjung pasar raya terbabit bertempiaran lari selepas menyedari kejadian itu.

Malah, rakaman video berdurasi 13 saat yang menunjukkan beberapa lelaki memakai topi keledar memasukkan barang kemas ke dalam beg tular di media sosial.

Berita berkaitan

Dirompak tiga lelaki berpistol

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 2:09 AM