FOTO bayi terbabit yang tular di media sosial.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


“TOLONG jaga atau letakkan di rumah anak yatim. Saya minta maaf kerana tidak dapat jaga dia.”

Demikian sebahagian kandungan nota yang ditemui bersama seorang bayi lelaki di sebuah surau di Taman Subang Perdana, Sungai Buloh, semalam.

Bayi yang ditinggalkan di sebuah surau itu disedari kariah surau berkenaan kira-kira 6 pagi.

Difahamkan, bayi berbaju biru dan diselimuti kain pelikat itu sedang lena tidur dan ditinggalkan di pintu masuk surau berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, penduduk tempatan yang menemui bayi lelaki itu menghubungi Balai Polis Kampung Baru Subang.

“Siasatan awal mendapati, bayi berkenaan tidak mempunyai sijil kelahiran dan usianya dipercayai sehari.

"Pemeriksaan tali pusat bayi berkenaan mendapati tali pusat sudah dipotong," katanya.

Shafa'aton berkata, pemeriksaan awal pegawai perubatan dari Hospital Sungai Buloh di tempat kejadian mendapati fizikal bayi dalam keadaan normal dan stabil.

“Bayi berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan lanjut.

“Pemeriksaan di tempat kejadian dapati tiada kamera litar tertutup (cctv). Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 11:09 AM