Skip this ad x
MUHAMMAD AKMAL. FOTO Aizuddin Saad
Nor Azura Abdul Jalil


PENUNTUT Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Muhammad Akmal Akif Alias, 23, yang bebas daripada tuduhan mencederakan Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman, berhasrat untuk menyambung pengajiannya.

Dia yang ditemui di luar mahkamah berkata, ia selepas pengajiannya di universiti awam berkenaan tertangguh selepas digantung kerana perbicaraan kes itu.

“Alhamdulillah, saya nak teruskan hasrat untuk meneruskan pengajian yang tertangguh selepas digantung kerana kes ini," katanya sambil mengelap air matanya.

Apabila ditanya media adakah dia sudah berjumpa dengan keluarga Zulfarhan, Muhammad Akmal Akif menjawab: "Belum".

Terdahulu, Hakim Datuk Azman Abdullah melepas dan membebaskan Muhammad Akmal daripada tuduhan mencederakan mangsa.

Sementara itu, mahkamah memerintahkan 18 tertuduh lain yang juga pelajar UPNM membela diri atas pertuduhan berhubung kematian Zulfarhan.

Lima tertuduh, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri membela diri atas pertuduhan membunuh Zulfarhan Osman, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali juga diperintah membela diri atas pertuduhan bersubahat membunuh mangsa.

Kesemua tertuduh yang berusia 23 tahun itu didakwa melakukan perbuatan itu di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka, yang dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Keenam-enam tertuduh bersama 12 penuntut yang lain turut diarah membela diri atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

Dua belas penuntut lain yang kesemuanya berumur 23 tahun ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri , Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany, dan Mohamad Syazwan Musa.

Bagi kejadian mencederakan mangsa pada 21 Mei 2017, tiga tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu namun masih perlu membela diri bagi pertuduhan mencederakan dalam kejadian 22 Mei 2017.

Mereka didakwa dengan salah satu pertuduhan di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan.

Hanya seorang tertuduh bebas mutlak iaitu Muhammad Akmal yang dibebaskan tanpa dipanggil membela diri bagi pertuduhan mencederakan Zulfarhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala antara peguam yang mewakili tertuduh-tertuduh ialah Amer Hamzah Arshad, Datuk Ranjit Singh Dillon, AG Kalidas, Datuk Hazizah Kassim, Mohd Fadly Hashim, Zambri Idrus dan Datuk Hazman Ahmad.

Perbicaraan kes yang bermula pada 29 Januari 2018 itu memanggil 29 saksi pendakwaan untuk memberikan keterangan.

Galeri awam mahkamah dipenuhi dengan keluarga mangsa dan tertuduh yang hadir seawal jam 7.30 pagi untuk mengikuti keputusan kes itu.

Berita berkaitan

Sujud syukur bapa Zulfarhan [METROTV]

Kes Zulfarhan: 18 penuntut UPNM kena bela diri

INFO

TERTUDUH DIARAH BELA DIRI

1. Muhammad Akmal Zuhairi Azmal

2. Muhammad Azamuddin Mad Sofi

3. Muhammad Najib Mohd Razi

4. Muhammad Afif Najmudin Azahat

5. Mohamad Shobirin Sabri

6. Abdoul Hakeem Mohd Ali

7. Mohd Hafiz Fauzan Ismail

8. Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain

9. Ahmad Shafwan Berdal

10. Muhammad Amirul Asraff Mala

11. Luqman Hakim Shamsuri

12. Muhammad Sufi Mohd Mustapha

13. Noriznan Izzairi Noor Azhar

14. Muhamad Ashraf Abdullah

15. Muhammad Danial Firdaus Azmir

16. Muhammad Hasif Ismail

17. Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany

18. Mohamad Syazwan Musa

TERTUDUH BEBAS

19. Muhammad Akmal Akif Alias

* Semua tertuduh berusia 23 tahun

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 2:59 PM