FOTO hiasan


MAJLIS Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan memasang sekurang-kurangnya 7,000 Jalur Gemilang di seluruh kawasan pentadbirannya, bermula esok.

Pemasangan itu sebagai memeriahkan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 yang akan bermula esok sehingga 16 September ini.

Datuk Bandar MBMB, Mansor Sudin berkata, bagi menyokong hasrat itu, pihaknya mengambil langkah agresif dengan memasang 1,000 Jalur Gemilang berbentuk bendera kibar di sekitar kawasan pentadbirannya.

Ia membabitkan Jalan Peringgit ke Bandar Hilir, Jalan Hang Tuah, Jalan Munshi, Jalan Tun Mutahir, Bangunan Graha Makmur dan kawasan pinggiran bandar.

Katanya, sebanyak 6,000 Jalur Gemilang dan bendera jenis bunting akan dipasang di semua bangunan kerajaan dalam kawasan MBMB termasuk di pinggir bandar.

“Bagi memastikan warga bandar raya membabitkan diri dalam kempen ini, lebih 2,000 notis pemberitahuan juga sudah dikeluarkan kepada pemilik bangunan perniagaan, hotel, dewan perniagaan, kilang, pemaju, balai raya dan wakil peringkat komuniti untuk mengibarkan Jalur Gemilang bermula 1 Ogos hingga 16 September depan.

“Kami turut mengambil perhatian serius jika terdapat pihak yang tidak menukar bendera lusuh kepada baharu kerana ia melambangkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negeri ini,” katanya ketika Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2019, di Graha Makmur, Ayer Keroh, hari ini.

Hadir sama Setiausaha MBMB, Azahar Mohamed.

Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ akan diadakan pada 3 Ogos di Dataran Pahlawan, Banda Hilir.

Majlis pelancaran dijangka disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mansor turut meminta seluruh warga bandar raya mengibarkan Jalur Gemilang termasuk di kediaman, premis perniagaan atau balai raya sekitar kawasan perumahan atau kampung bermula 3 Ogos bagi menyokong usaha dilaksanakan MBMB.

Sementara itu, beliau berkata, MBMB menjangka kehadiran lebih 10,000 pengunjung dalam dan luar negeri ke Dataran MBMB bagi memeriahkan detik Ambang Kemerdekaan pada malam 30 Ogos ini.

“Kita sudah merangka program berkonsepkan warisan sebagai pengisian kepada persembahan malam berkenaan dengan penampilan artis jemputan tanah air, persembahan kebudayaan dan pertunjukan bunga api,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 4:44 PM