DUA pasangan yang dicekup berkhalwat di bilik sewa berasingan di Pantai Chenang. FOTO IHSAN PADAL
Zuliaty Zulkiffli


DUA pasangan kekasih dicekup anggota Pejabat Agama Islam Daerah Langkawi (PADAL) kerana disyaki berkhalwat di bilik berasingan di bilik sewa di Pantai Chenang, Langkawi, hari ini.

Dalam serbuan pertama jam 3 pagi, seorang wanita berusia 20 tahun ditemui hanya berkemban tanpa baju manakala pasangannya hanya memakai seluar pendek.

Ketika itu, lelaki berusia 21 tahun itu dikatakan cuba melarikan diri ke dalam bilik air untuk mengelak daripada ditahan penguat kuasa manakala pasangannya berasal dari pulau berkenaan dalam keadaan takut.

Pasangan terbabit bekerja di sebuah hotel sekitar pulau dan tidak mempunyai sebarang ikatan sah suami isteri atau mahram.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, mereka kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, dalam serbuan di bilik berasingan, seorang lelaki dicekup berkhalwat dengan pasangannya memberi alasan hanya menumpang di bilik wanita itu kerana baru tiba dari Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, hubungan mereka tanpa sebarang ikatan suami isteri atau mahram menyebabkan timbul syak mereka berkhalwat.

“Lelaki berusia 24 tahun berasal dari Kuala Lumpur dikatakan sudah lama mengenali pasangannya berusia 33 tahun berasal dari Sarawak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Radzi berkata, lelaki itu hanya berkain pelikat dan berkemeja T manakala pasangannya berseluar panjang dan berkemeja T.

Beliau berkata, kedua-dua pasangan itu ditahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Pihak PADAL akan melakukan pemantauan berterusan di sekitar kawasan itu berikutan banyak aduan mengenai bilik disewa pasangan bukan mahram,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 7:49 PM