PETUGAS Haji berikrar memberi khidmat terbaik kepada jemaah
Yusri Abdul Malek


MENJADI petugas haji sama ada media, kebajikan, perubatan,sajian, kawalan keselamatan dan pelbagai lagi unit bermakna seseorang itu sudah memikul tanggungjawab yang berat iaitu menyantuni dhuyufurrahman atau Tetamu Allah.

Bila bercakap pasal tetamu, Tabung Haji (TH) sebagai tuan rumah buat 30,200 jemaah haji Malaysia sudah pasti perlu memberi khidmat terbaik bagi memenuhi keperluan tetamu.

Sama ada suka atau tidak apabila sudah memakai baju tertera logo TH, petugaslah sasaran jemaah untuk meminta atau bertanya apa saja yang mereka perlukan.

Bak kata lain, petugas kena mahir ilmu komunikasi dan memiliki tahap kesabaran yang amat tinggi.

Terpaksa bekerja untuk tempoh panjang dan tanpa cuti menyebabkan ada petugas yang hanya sekali sekala berpeluang ke Masjidilharam untuk beriktikaf. Kelainan masa lebih kepada menjaga jemaah yang terdiri daripada pelbagai ragam, latar pendidikan yang berbeza dan tahap ekonomi yang tidak sama.

Namun begitu, semua dilakukan petugas adalah satu pengorbanan demi memastikan jemaah yang disantuni dapat mengerjakan ibadah haji dengan sempurna.


WAN Mohamad Abdul Aziz

Mengulas isu pengorbanan ini, Ketua Pakar Rujuk TH 1440 H Datuk Wan Mohamad Abdul Aziz berkata, petugas haji ini sudah berkorban dengan meninggalkan keluarga dan harta benda serta negara demi memberi khidmat.

Katanya, mereka juga meletakkan perkhidmatan kepada jemaah lebih daripada kepentingan diri.

"Mereka juga berkorban perasaan dan emosi. Ada jemaah yang datang berpasangan tetapi petugas datang seorang diri," katanya ketika sidang media di Abraj Al-Janadriyah di Makkah.

Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata, bagi petugas, peluang berkhidmat di Tanah Suci adalah nikmat yang terbesar dan ganjaran pahala juga besar sama seperti orang yang mengerjakan haji dan umrah.

"Berkhidmatlah dengan jujur dan ikhlas dalam mengisi masa lapang dengan sebaiknya. Nescaya ganjaran diperoleh lebih daripada jemaah itu sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 12:15 PM