GAMBAR hiasan
Mohd Sabran Md Sani


TINDAKAN lelaki warga Bangladesh menyentuh punggung ‘isteri orang’ membawa padah apabila ditahan di Taman Manis, Kelapa Sawit, Kulai, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, suspek berusia 27 tahun ditahan selepas mencabul wanita berusia 30 tahun itu berdekatan sebuah pasar raya di situ.

Katanya, anggota ronda dari Balai Polis Kelapa Sawit menerima arahan untuk menahan suspek pada 7.45 petang.

“Arahan itu diterima daripada Pejabat Pertanyaan di balai berkenaan untuk ke lokasi kejadian susulan penahanan suspek oleh orang awam.

“Setibanya di lokasi kejadian, polis membuat tangkapan semula di lokasi berkenaan,” katanya ketika mengesahkan penahanan suspek terbabit.

Beng Yeow berkata, berdasarkan aduan mangsa, suspek mengekorinya dari arah belakang.

“Mangsa dalam laporannya mendakwa dia sedang melalui lokasi bersebelahan sebuah pasar raya bersama anaknya.

“Ketika kejadian suspek menyentuh bahagian punggung mangsa,” katanya.

Beliau berkata, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Katanya, permohonan reman diperoleh sehingga Sabtu ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 3:23 PM