GAMBAR hiasan
Norizuan Shamsuddin


ANAK derhaka. Itu yang boleh diungkapkan apabila anak sanggup memeras ugut dan memaki hamun ibu kandungnya di Kampung Seberang Bukit Tumbuh, Kuala Nerus, Sabtu lalu.

Perbuatan biadap lelaki berusia 30-an terhadap mangsa, 50-an, berlaku selepas wanita terbabit tidak membenarkan anaknya menggunakan kereta untuk keluar berfoya-foya pada 3 pagi.

Bagaimanapun, lelaki itu bertindak merampas kunci kenderaan daripada ibunya sambil memaki hamun wanita berkenaan.

Menurut sumber, kejadian disedari adik lelakinya berusia 20 tahun yang terjaga selepas terdengar bunyi bising.

“Susulan itu, adik suspek cuba membantu ibunya merampas kunci daripada lelaki terbabit.

“Bagaimanapun sejurus memegang kunci kereta itu, suspek terus bertindak mengacukan pisau ke arahnya sambil memberi amaran jangan masuk campur urusannya sebelum beredar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut sumber, sebelum kejadian suspek mengamuk dan memeras ugut ibunya selain mahu memukul abang ipar jika wanita itu tidak mahu menyerahkan wang RM600 pada hari sama.

“Susulan itu mangsa membuat laporan polis kerana tidak tahan dengan tindakan anak lelakinya yang kerap mengamuk sekali gus bimbangkan keselamatan diri serta keluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan lanjut sedang dilakukan bagi menangkap suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 5:26 PM