DAWAI penghadang jalan di Jalan Gua Musang-Kuala Berang Aring 5 yang menjadi sasaran pencuri. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


BARU tiga tahun beroperasi namun, dawai penghadang di Jalan Gua Musang-Kuala Berang di Aring 5, menjadi sasaran pencuri.

Difahamkan sejak setahun lalu, hampir keseluruhan dawai penghadang jalan dari Simpang Kampung Perasu ke Kampung Aring 5 sejauh 30 kilometer yang dibina untuk keselamatan pengguna jalan raya kini hanya tinggal tiang.

Seorang pengguna, Sulaiman Hashim, 51, berkata, ketiadaan dawai berkenaan menyebabkan pengguna terdedah dengan bahaya sekiranya berlaku kemalangan.

Katanya, dawai itu dipasang untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

“Untuk mendapatkan keuntungan mudah mereka sanggup bahayakan orang lain. Tanpa dawai itu, kemalangan akan menjadi lebih serius sekiranya kenderaan masuk ke dalam gaung atau masuk ke laluan bertentangan,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Farid Ahmad 38, menyifatkan individu yang mencuri dawai itu sebagai perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

“Sejak kebelakangan ini, jalan itu semakin sibuk dengan kenderaan yang berulang-alik dari Gua Musang ke Kuala Berang, Terengganu.

“Saya berharap pihak berkaitan dapat ambil tindakan segera termasuk membuat kawalan dan memasang kembali dawai terbabit untuk keselamatan pengguna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 6:00 AM