MANGSA meninggal dunia di tempat kejadian. FOTO Ihsan Polis.
Siraj Mohd Zaini


PELAJAR perempuan meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya terjatuh dan dilanggar kereta dari arah bertentangan di Jalan Utama Sungai Lang, Kuala Langat, hari ini.

Kejadian berlaku pada 7.20 pagi ketika mangsa, Nurul Wafa Wirdani Mohd Shahrul, 16, dalam perjalanan ke sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Banting.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal Yamaha Lagenda sendirian, dipercayai cuba memotong kenderaan di hadapannya namun gagal dan terjatuh ke laluan bertentangan.

Katanya, dalam masa sama, kereta dipandu wanita 31 tahun dari arah Kanchong Darat ke Olak Lempit tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa.

“Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke SMK Banting Baru. Dia meninggal dunia di lokasi dan mayatnya dihantar ke Hospital Banting untuk dibedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 1:29 PM