JENAZAH Allahyarham Zakiah Hanum (gambar kecil) dibawa masuk ke dalam masjid selepas dimandikan di Masjid Saidina Abu Bakar AsSiddiq, Bangsar. FOTO Hafiz Sohaimi.


ALLAHYARHAM Datuk Zakiah Hanum Abdul Hamid adalah wanita pertama di Malaysia yang berjaya menjadi Ketua Pengarah dalam jabatan kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Salam takziah buat keluarga Datuk Zakiah Hanum Abdul Hamid. Semoga (arwah) ditempatkan bersama orang-orang yang bertakwa,” katanya menerusi Twitter beliau, hari ini.

Zakiah Hanum, 82, yang berasal dari Jalan Langgar, Alor Setar, Kedah meninggal dunia pada 12.30 tengah malam tadi di Hospital Pantai, Kuala Lumpur.

Allahyarham adalah bekas Ketua Pengarah Jabatan Arkib Negara dan pemenang anugerah Ramon Magsasay.

Beliau memulakan kerjaya sebagai Penolong Penyimpan Arkib, Arkib Negara sebelum menjawat jawatan Ketua Bahagian Arkib dan meneruskan tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Pengarah Arkib Negara.

Pada 1977, beliau dilantik Ketua Pengarah Arkib sekali gus menjadikan dirinya wanita pertama mengetuai jabatan Persekutuan.

Anaknya Farha Mohd Nor dilapor berkata, jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara selepas solat Jumaat hari ini.

Allahyarham mempunyai dua anak lelaki, seorang anak perempuan dan tujuh cucu hasil perkahwinan dengan Datuk Mohd Nor Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 4:10 PM