KELIHATAN mangsa cuba mengejar dua lelaki yang mencuri motosikalnya. FOTO IHSAN PEMBACA
Nurul Hidayah Bahaudin


HANYA tiga minit tempoh masa diambil dua lelaki yang mencuri motosikal milik pekerja stesen minyak di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Kejadian disedari mangsa, Nur Hazwani Mohd Noh, 29, yang juga pekerja stesen minyak berkenaan jam 3.20 pagi.

Menurut mangsa, ketika kejadian, hanya dia dan seorang lagi rakannya bertugas menjaga stesen minyak itu.

“Ketika saya menjaga kaunter, saya terdengar bunyi ketukan di lokasi saya meletakkan motosikal di tepi stesen minyak.

“Saya kemudian melihat dua lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh berhampiran motosikal Yamaha 135LC dengan seorang daripada mereka sedang memotong kunci mangga di roda belakang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nur Hazwani berkata, dia memanggil rakannya untuk meminta bantuan sebelum cuba menghampiri dua lelaki terbabit.

“Saya melihat seorang daripada mereka dilihat sedang menolak motosikal saya keluar dari kawasan berkenaan.

“Dalam keadaan panik, saya mengambil sebatang besi berhampiran pintu dan cuba mengejar, namun mereka terus memecut motosikal,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya ada menerima laporan kejadian itu.

“Polis sedang giat memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 4:33 PM