KUALA LUMPUR 31 DISEMBER 2018. Penetapan harga minyak petrol dan diesel ditangguh sementara buat masa ini ketika tinjauan di Stesen Shell Jalan Bangsar. NSTP/AZHAR RAMLI
Mohd Husni Mohd Noor


HARGA runcit petrol RON97 turun 2 sen kepada harga RM2.54 seliter manakala RON95 dan diesel kekal masing-masing pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter berkuat kuasa tengah malam ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini berkata, harga bahan api berkenaan ditetapkan bagi tempoh 3 hingga 9 Ogos ini berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

Menurutnya, berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama masing-masing adalah sebanyak RM2.24 seliter dan RM2.33 seliter masing-masing.

“Ini menunjukkan penurunan dari minggu lalu bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.26 seliter dan kenaikan bagi harga runcit produk diesel yang berada pada paras RM2.31 seliter

“Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat,” katanya.

Katanya, dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh 3 hingga 9 Ogos adalah berjumlah RM85.78 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 5:22 PM