HANNAH (tengah) meluangkan masa beramah mesra dan sampaikan cenderahati kepada penghuni Sekolah Harapan Negeri dan bayi mereka, hari ini. FOTO Khairunisah Lokman.
HANNAH (tengah) meluangkan masa beramah mesra dan sampaikan cenderahati kepada penghuni Sekolah Harapan Negeri dan bayi mereka, hari ini. FOTO Khairunisah Lokman.
Nurul Fhatihah Zakinan


JANGAN buang bayi anda kerana masih ada 1,000 ibu bapa angkat yang bersedia memelihara bayi itu dan memulakan kehidupan baharu bersama mereka.

Pesanan itu buat wanita mengandung anak luar nikah mahupun remaja terlanjur yang buntu untuk meneruskan kehidupan bersama bayi bakal dilahirkan nanti.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan kira-kira 1,000 ibu bapa angkat dalam senarai menunggu dan bersedia mengambil bayi ‘istimewa’ itu.

Berikutan itu katanya, sangat menggalakkan golongan berkenaan merujuk pihak JKM untuk bantuan sekali gus, mengurangkan kes pembuangan bayi.

“Ibu bapa angkat yang menunggu untuk menjaga bayi ini bersedia menerima dan memberikan peluang kehidupan lebih baik untuk bayi berkenaan.

“Jadi kita mahu beritahu kumpulan ibu ini (yang terlanjur), jangan risau kerana bayi anda akan selamat dengan kita (JKM), kita mahu bantu selamatkan nyawa bayi itu dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja di Sekolah Harapan Negeri di Jasin yang ketika ini dihuni 10 pelajar perempuan berusia 16 hingga 27 tahun.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, 945 kes buang bayi direkodkan bagi tempoh 2010 hingga 2018 dan 64 peratus daripada bayi berkenaan meninggal dunia.

Katanya, bagi Januari hingga Mei lalu, Johor mencatatkan kes buang bayi tertinggi dengan 13 kes diikuti Selangor (11) dan Kedah (5).

Untuk itu katanya, kementerian giat menggerakkan kempen mencegah pembuangan bayi bersama pelbagai pihak termasuk Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dengan melekatkan poster disertakan nombor Talian Kasih 15999 di pintu tandas di 22 Hentian Rehat & Rawat di seluruh negara.

Selain itu, turut adakan kerjasama strategik bersama Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB), syarikat telekomunikasi dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

“Kempen ini seterusnya akan menumpukan ke pawagam kerana kita perlu kreatif mencari kumpulan sasar. Kalau tidak kena dengan kumpulan sasar, sukar untuk kurangkan kes pembuangan bayi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 6:42 PM