KEADAAN lori muatan batu yang terjunam ke dalam gaung. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


SEORANG lelaki maut selepas lori muatan batu yang dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira tujuh meter berhampiran bulatan Taman Delima di Kluang, kira-kira 9.20 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, mangsa, Abu Bakar Dan, 43, yang mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

Katanya, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Taman Muhibbah menghala ke Jalan Stadium.

“Kenderaan itu tiba-tiba hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu terjunam ke dalam gaung di situ.

“Berikutan kejadian itu, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kluang dipanggil untuk membantu mengeluarkan mangsa kerana dipercayai tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Menurut Mohd Abduh, mangsa dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada waris lewat petang ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk mengenal pasti punca kejadian sebenar.

“Siasatan juga mendapati kejadian berlaku berhampiran bulatan dengan jalan bertar dan kering, lori turut akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 6:56 PM