Siraj Mohd Zaini


PENDUDUK serta orang ramai di sekitar Lorong Batu Nilam, Klang hari ini cemas seketika apabila lelaki bersenjatakan pisau tiba-tiba mengamuk.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, anggota polis dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan berhubung tindakan lelaki terbabit yang cuba mencederakan orang ramai.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, anggota polis cuba menenangkan suspek dan mengarahkannya membuang senjata itu, namun gagal.

Menurutnya, suspek yang berasal dari Sabah berusia 35 tahun itu kemudiannya dikepung sebelum bergelut dengan beberapa anggota polis yang cuba menangkapnya.

“Ketika cuba menahan suspek, berlaku pergelutan dan suspek mengalami luka ringan pada muka, telinga, mulut dan dagu.

“Suspek kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk menerima rawatan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan,” katanya.

Shamsul Amar berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau namun tiada rekod dikehendaki polis.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu.

“Kita turut merampas pisau digunakan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Merbahaya 1958,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 8:13 PM
Polis menahan lelaki yang mengamuk dengan pisau. VIDEO Ihsan Pembaca