LAPORAN portal berita Harian Metro


AUDIT penyelenggaraan menyeluruh perlu untuk semua Projek Perumahan Rakyat (PPR), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang terkejut dengan insiden lif terhempas di PPR Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur, berkata isu keselamatan wajib sentiasa dititikberatkan.

“Terkejut mendengar insiden lif di pangsapuri PPR Kampung Kerinchi. Simpati buat lapan mangsa yang mengalami kecederaan. Semoga diberikan kesembuhan yang sempurna.

“Saya mengalu-alukan kenyataan Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen Lembah Pantai, (bahawa) semua kos rawatan mangsa ditanggung Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Media melaporkan, dalam kejadian selepas solat Jumaat itu, lapan penduduk mengalami kecederaan selepas lif dinaiki mereka untuk ke tingkat atas secara tiba-tiba terhempas dari tingkat lima.

Akibat kejadian itu, mereka yang berada di dalam lif bergelimpangan dan ada antaranya tidak boleh bangun sebelum dibantu orang ramai.

Menurut penduduk, kejadian lif terhempas adalah kali kedua berlaku di PPR berkenaan dengan kali pertama berlaku tahun lalu membabitkan lif berlainan hingga menyebabkan seorang cedera.

Kejadian itu menyebabkan penduduk mengalami trauma menaiki lif di PPR itu. Mereka kecewa dengan apa yang berlaku kerana aduan berhubung kerosakan lif kerap dibuat sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 8:36 PM