Mangsa yang mengalami kecederaan terduduk di lokasi kejadian di kawasan Rumah Rakyat Sungai Layang di Rembau, selepas diragut seorang penunggang motosikal, hari ini.
Raja Noraina Raja Rahim


PENGAWAL keselamatan wanita cedera selepas diragut seorang penunggang motosikal di kawasan Rumah Rakyat Sungai Layang di Rembau, hari ini.

Dalam kejadian 7 pagi itu, Sarimah Pajar, 53, cedera di tangan, lutut dan kaki kanan selepas terjatuh daripada motosikal ditunggangnya.

Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas habis syif kerja di sebuah sekolah.

“Mangsa menyedari diekori seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal Yamaha LC sebelum lelaki itu menghampiri dan merentap gelang tangan emas dipakainya.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa terjatuh dan kaki kanannya dihempap motosikal.

“Jiran mangsa yang menyedari kejadian kemudiannya membantunya sebelum menghubungi polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anuar Bakri berkata, mangsa memaklumkan tidak dapat melihat muka suspek kerana lelaki itu memakai topi keledar penutup penuh.

Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk rawatan lanjut.

Katanya, pihaknya sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 8:54 PM