GAMBAR hiasan
BERNAMA

POLIS menafikan satu rakaman suara tular melalui aplikasi WhatsApp sejak semalam mendakwa berlaku kes penculikan kanak-kanak di Bertam Perdana, Kepala Batas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan lanjut berhubung rakaman suara mendakwa beberapa penculik menggunakan kereta jenis Nissan Sunny adalah palsu.

“Polis menahan dua wanita menggunakan kereta Nissan Sunny seperti ditularkan, namun soal siasat mendapati mereka tiada kaitan dengan kes penculikan,” katanya, hari ini.

Menerusi rakaman suara wanita yang tular itu, wanita berkenaan mendakwa kereta berwarna putih dipandu seorang lelaki dilihat berlegar di kawasan rumahnya ketika pulang sebelum ke balai polis membuat laporan.

Dalam rakaman suara selama satu minit 38 saat, wanita berkenaan turut mendakwa diberitahu pihak polis bahawa satu kes penculikan kanak-kanak berlaku di kawasan perumahannya di Bertam Putra, minggu lalu.

Sementara itu, Noorzainy berkata, dakwaan itu juga adalah tidak benar dan tiada sebarang insiden penculikan pada tarikh dan masa seperti ditularkan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan pihak yang merakam dan menyebarkan rakaman suara kerana menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang ramai.

“Saya minta orang awam jangan mudah terpengaruh dengan isu tular yang masih belum pasti kesahihannya.

“Hubungi terus Ibu Pejabat Polis Daerah SPU di talian 04-576 2222 untuk mendapatkan pengesahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 9:14 PM