ANTARA individu yang ditahan dalam operasi itu. FOTO Ihsan Polis.
Norasikin Daineh


SERAMAI 34 individu ditahan polis dalam Operasi Ice Breaker kerana terbabit penyalahgunaan dadah sepanjang minggu lalu berakhir semalam.

Mereka berusia 17 hingga 52 tahun ditahan di sekitar Kota Kinabalu dan 11.50 gram dadah jenis syabu dirampas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi itu bermula 28 Julai membabitkan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, dibantu anggota pelbagai cawangan dan balai polis.

Katanya, tumpuan adalah lokasi penagihan dadah terutamanya di Kampung Sembulan, Kampung Labou, sekitar Likas dan bandar raya Kota Kinabalu.

“Seramai 11 daripada 34 orang yang ditahan adalah warga asing dan nilai rampasan dadah cecah RM1,800,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, tahanan disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2), Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 kerana menjalankan aktiviti pengedaran dadah.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menjalankan penguatkuasaan mengekang penyalahgunaan dadah di daerah itu dan meminta kerjasama orang ramai untuk melaporkan sebarang maklumat berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 10:57 AM