Nur Lela Zul kipli


PEMILIK restoran makanan laut di Taman Chi Liung, Pandamaran, Klang yang rentung dalam kebakaran 7.30 pagi tadi dikatakan tidak dapat menyelamatkan diri berikutan sedang tidur ketika kejadian.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya difahamkan isteri mangsa yang berusia 60-an berada di dapur ketika kejadian dan terdengar jeritan suaminya, Lim Kim Book, 59, sebelum bergegas ke bilik tidur di restoran itu.

Beliau berkata, wanita itu pergi ke bilik tidur mereka tetapi tidak dapat masuk kerana api sudah marak sebelum menyelamatkan diri.

Katanya, pihaknya menerima panggilan 7.30 pagi sebelum pasukannya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang, Andalas dan Kota Raja dengan tiga pegawai serta 24 anggota tiba di lokasi pada 7.39 pagi.

“Mayat mangsa ditemui rentung berhampiran bilik tidur restoran.

“Mangsa dipercayai tinggal di restoran itu manakala anak-anak mereka tinggal berasingan.

“Kami percaya mangsa terperangkap di bawah runtuhan siling yang terbakar,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

RESTORAN yang musnah dalam kebakaran di Taman Chi Liu, Pandamaran, Klang. FOTO ihsan Bomba
RESTORAN yang musnah dalam kebakaran di Taman Chi Liu, Pandamaran, Klang. FOTO ihsan Bomba

Hafisham berkata, kebakaran di binaan seluas 594.6 meter persegi itu berjaya dikawal 8.10 pagi dan padam sepenuhnya 9.15 pagi manakala mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

Beliau berkata, premis itu terbakar kira-kira 80 peratus dan Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM Selangor sedang menjalankan siasatan punca kebakaran.

Katanya, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan kebakaran berpunca dari bahagian dapur restoran itu yang terletak di hadapan premis.

“Unit anjing pengesan (K9) berada di lokasi untuk membantu siasatan,” katanya.

Difahamkan, restoran itu beroperasi dari petang hingga malam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 12:18 PM
KEBAKARAN restoran menyebabkan seorang warga emas maut. FOTO ihsan Bomba
KEBAKARAN restoran menyebabkan seorang warga emas maut. FOTO ihsan Bomba