Penduduk menggunakan lif di Blok C, PPR Kerinchi, Kuala Lumpur. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


KEJADIAN lif meluncur ke bawah di Blok C, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Kuala Lumpur semalam diharap dapat membuka mata pihak berkaitan terhadap masalah lif kritikal yang dihadapi penduduk.

Pengerusi Penduduk Blok C PPR Kerinchi, Yusoff Ibrahim, 69, berkata, sudah banyak aduan dibuat penduduk mengenai kerosakan lif kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Namun katanya, tindakan diambil disifatkan sebagai penyelesaian sementara bukan untuk jangka masa panjang.

“Kita gesa, kejadian semalam pihak berkaitan buka mata, masalah lif di sini serius, penduduk bersyukur tiada yang menjadi korban semalam.

“Lif selalu rosak, bila buat aduan ada pihak datang baiki namun rosak balik, pernah juga ketiga-tiga lif rosak, terpaksa menggunakan tangga, kita minta ada tindakan lebih proaktif selepas ini.

“Kita minta semua lif diganti baharu, lif di sini sudah berusia lebih 10 tahun, kemudian buat jadual penyelenggaraan berkala,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu penduduk, Raihan Abdul Rahim, 70, berkata, sebelum ini dia memegang kunci lif yang akan digunakan untuk membuka pintu apabila lif tersekat.

“Namun kunci itu sudah diambil semula DBKL atas alasan menggantikan sistem lif yang baharu dan tidak diberi semula sehingga sekarang.

“Bila ada wakil atau ketua blok pegang kunci, senang kita nak bertindak apabila ada kejadian tersekat dalam lif. Selepas kejadian semalam, ada penduduk fobia menggunakan lif,” katanya.

Penduduk, Roszimi Mohd Rozali, 51, berkata, mereka tidak mahu ada nyawa korban akibat masalah lif di situ.

“Kalau lif ini boleh bercakap, pasti dia beritahu dia sudah tidak larat, lif sini sudah wajib ditukar tidak boleh dibaiki lagi, saya sendiri pernah tersekat dalam lif beberapa kali.

“Tolonglah buka mata, tengok sendiri betapa serius masalah lif di sini, kami mahu penyelesaian segera dan penyelesaian jangka panjang, jangan sampai ada korban nyawa,” katanya.

Berita berkaitan

Kaji semula SOP selenggara lif

Lif berhenti mengejut, bukan terhempas

Lif menggelongsor laju

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 3:20 PM