BOM tangan lama yang ditemui kanak-kanak lelaki, Khamis lalu. FOTO Ihsan Polis.
Garret Dawum


BOM tangan lama yang dijumpai kanak-kanak di sungai Kampung Buso, Bau dimusnahkan Unit Pemusnah Bom (UPB), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, bom itu dimusnahkan pada 10.30 pagi dan diselesaikan dalam tempoh 30 minit tanpa sebarang kerosakan awam.

“Kami tidak dapat mengenal pasti jangka hayat bom itu kerana tandanya sudah hilang dan dijumpai dalam keadaan berkarat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Poge berkata, bom itu dijumpai kanak-kanak lelaki 12 tahun ketika mandi di sungai dekat kampung itu pada 5.30 petang, Khamis lalu.

“Kanak-kanak itu kemudiannya memaklumkan penemuan itu kepada bapa saudaranya sebelum laporan polis dibuat pagi semalam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 4:03 PM