Dr Wan Azizah melancarkan Talian Kasih di Petaling Jaya hari ini. FOTO Syarafiq Abd Samad
Dr Wan Azizah melancarkan Talian Kasih di Petaling Jaya hari ini. FOTO Syarafiq Abd Samad
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KEHAMILAN tidak diduga dan kurang pengetahuan apa tindakan yang perlu diambil menjadi punca remaja dan wanita membuat keputusan drastik membuang bayi yang baru dilahirkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keadaan itu menyebabkan kes pembuangan bayi yang dilaporkan kian meruncing setiap tahun khususnya membabitkan remaja perempuan.

Menurutnya, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), 1,010 kes pembuangan bayi direkodkan di seluruh negara sejak 2010 hingga Mei lalu dengan 64 peratus bayi daripada jumlah itu meninggal dunia.

“Kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terus agresif melakukan program advokasi dan kesedaran awal khususnya kepada golongan remaja perempuan dan lelaki terutama di sekolah, pusat komuniti dan institusi lain yang bersesuaian.

“Pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (KASIH MALAYSIA) dan syarikat korporat dialu-alukan untuk menyebar luas mesej yang dilaksanakan kerajaan kepada masyarakat,” katanya pada pelancaran Kempen Mencegah Pembuangan Bayi Pusat Membeli Belah Sunway Piramid di Petaling Jaya hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, golongan yang hamil luar perkahwinan itu boleh menghubungi talian Kasih 15999 jika melahirkan bayi agar tidak mengambil langkah singkat dengan membuang insan tidak berdosa itu.

“Kerajaan bukan menggalakkan kehamilan di luar perkahwinan dengan wujudnya talian atau bantuan kepada golongan itu namun apa yang menjadi tumpuan adalah memastikan bayi tidak berdosa dan ibunya mendapat perlindungan kesihatan dan kebajikan sewajarnya.

“Keluarga, masyarakat dan golongan lelaki juga perlu bertanggungjawab jika berdepan situasi ini agar tindakan melulu tidak diambil seterusnya memberi risiko kepada bayi dan ibunya,” katanya.

Sementara itu, Hannah berkata, sepanjang 2018, talian Kasih menerima 15,000 panggilan untuk pelbagai masalah daripada golongan sasar antaranya pembuangan bayi, penderaan dan masalah berkaitan komuniti.

“Talian Kasih yang beroperasi 24 jam ini membantu masyarakat menyalurkan maklumat dan masa sama memberikan penerangan mengenai tindakan yang perlu diambil jika berdepan masalah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 6:36 PM