DR Mahathir mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysiaku Bersih’ di Dataran Pahlawan, Banda Hilir, Melaka, malam tadi. Turut kelihatan, Gobind (kanan) serta Adly (dua dari kiri). FOTO Khairunisah Lokman.
Rizanizam Abdul Hamid


TUN Dr Mahathir Mohamad membayangkan rakyat berusia 18 tahun sudah boleh menawarkan diri menjadi wakil rakyat atau menteri pada usia semuda itu.

Perdana Menteri berkata, pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun yang diluluskan Dewan Rakyat pada 16 Julai lalu menjadi titik tolak perancangan kerajaan ke arah itu.

“Ia (pindaan) antara langkah sedang diusahakan kerajaan untuk membuka peluang kepada golongan muda terbabit dalam sistem demokrasi negara di usia lebih muda.

“Pendaftaran pengundi secara automatik membuka peluang kepada golongan muda seawal usia 18 tahun untuk menawarkan diri berkhidmat sebagai wakil rakyat atau menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 10,000 rakyat pelbagai kaum bagi merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysiaku Bersih’ di Dataran Pahlawan, Banda Hilir, Melaka, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Menteri, Adly Zahari; Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal; Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Pada 16 Julai lalu, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu memperoleh masing-masing sokongan 211 daripada 222 Ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagi dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan Rakyat.

Ini bermakna, pada pilihan raya akan datang pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding umur 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 12:08 AM