SYED Saleh memberi ucapan dan kata-kata semangat kepada petugas haji yang akan memulakan operasi masyair. FOTO Yusri Abdul Malek
Yusri Abdul Malek


PERGERAKAN 30,200 jemaah haji Malaysia ke Arafah akan bermula pagi Jumaat ini dan dibahagikan kepada tiga giliran mulai 5.30 pagi.

Ini adalah pergerakan jemaah terbesar atau raksasa bagi menyertai lebih dua juta lagi jemaah dari seluruh dunia untuk berwukuf sebagai rukun kedua Haji.

Berikutan itu, operasi masyair Tabung Haji (TH) membabitkan 640 petugas haji kebajikan dan perubatan akan digerakkan lebih awal ke Arafah, Mudzalifah dan Mina.

Ketua Rombongan Haji Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, operasi masyair adalah kemuncak ibadah dan operasi haji tahun ini.

Katanya, semua jemaah akan mula digerakkan pada 5.30 pagi Jumaat untuk giliran pertama, 7.30 pagi (kedua) dan 9.30 pagi (ketiga).

KHEMAH di Mina menunggu kehadiran lebih dua juta jemaah dari seluruh dunia. FOTO Yusri Abdul Malek

"Pergerakan sehari lebih awal ini bertujuan mengelak kesesakan lalu-lintas yang dijangka berlaku pada awal pagi Sabtu.

"Kita menggunakan 22 bas untuk setiap maktab dalam pergerakan ke Arafah itu," katanya pada sidang media selepas majlis bacaan Yasin dan Solat Hajat di khemah pengurusan TH di Mina.

Beliau berkata, setakat ini, melalui tinjauan yang dijalankan mengenai persiapan operasi masyair, pihaknya mendapati persiapan adalah 90 peratus siap.

"Jumlah khemah akan digunakan jemaah haji adalah sebanyak 151 khemah berkeluasan 34,520 meter persegi manakala khemah di Mina berjumlah 403 buah berkeluasan 25, 314 meter persegi.

"TH dengan kerjasama Muasasah Asia Tenggara akan menggunakan 576 bas iaitu Makkah ke Arafah sebanyak 198 buah, Arafah ke Mudzalifah (126), Mudazlifah ke Mina (54) manakala masing-masing 99 bas disediakan untuk jemaah ke Makkah selepas selesai Nafar Awal dan Nafar Thani," katanya.

Selain itu, bagi jemaah yang berada di wad, TH sudah menyediakan lapan bas khas yang diubahsuai untuk mengangkut semua mereka berwukuf melalui program dinamakan Safari Wukuf.

"Bas ini diubahsuai seperti bas ambulans. Mereka akan dibawa ke Arafah selama dua jam sebelum dibawa semula ke pusat rawatan untuk meneruskan pemulihan," katanya.

Katanya, operasi masyair adalah cabaran terbesar dan beliau mengharapkan Allah mempermudahkan operasi haji TH pada tahun ini.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 12:07 PM