TAYAR pecah dipercayai punca ambulans terbabit kemalangan. (Gambar kecil) Mohd Hafidz. FOTO ihsan polis
Rosman Shamsudin


KEMALANGAN ambulans sehingga mengorbankan nyawa pemandu dan pesakit wanita dipercayai berpunca daripada tayar belakang yang pecah mengakibatkan kenderaan itu terbabas melanggar pembahagi jalan di Kilometer 368.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Slim River, pagi tadi.

Mangsa yang maut ialah pemandu ambulans, Mohd Hafidz Mohd Bahari, 37, dan pesakit, Azizah Dolah, 66, yang beralamat di Felda Gunung Besout 2, Sungkai.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 7 pagi dan siasatan awal mendapati ambulans berkenaan dalam perjalanan daripada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh menghala ke Hospital Slim River melalui Lebuhraya Utara Selatan.

“Apabila sampai di lokasi kejadian disyaki tayar belakang sebelah kanan ambulans itu pecah menyebabkan ia terbabas melanggar penghadang tepi jalan dan terbalik.

“Akibat kemalangan itu pemandu mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pesakit yang dibawa meninggal dunia kerana peralatan bantuan pernafasan tercabut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kemalangan itu turut membabitkan tiga lagi mangsa iaitu doktor wanita, Ainaa Athirah Abdullah, 29, dan jururawat, Nur Aliesa Hashim, 28, yang kedua-duanya tidak cedera, manakala pembantu pegawai kesihatan, Khairuazani Khairuddin, 40, mengalami luka.

“Kedua-dua mangsa yang maut dibawa ke Hospital Slim River untuk dibedah siasat dan ahli keluarga mangsa sudah dimaklumkan.

“Sampel darah mangsa turut diambil untuk toksikologi dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita berkaitan

Pemandu dan pesakit maut ambulans terbabas

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 12:50 PM