DR Mahathir bersalaman dengan wartawan Berita Harian, Petah Wazzan Iskandar dan ibu bapanya, Mohd Mokhtar Mohd Petah, 85, dan Sitti Haishah Abdul Rahman, 59, di majlis Ucap Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Malaysia Ke Tanah Suci di Kompleks Tabung Haji Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siti A’isyah Sukaimi


“SEMASA di Tanah Suci nanti, doakan negara kita Malaysia terus aman dan sejahtera.

“Hanya dengan keamanan, kita semua dapat melaksanakan ibadat menurut syariat yang dituntut oleh Allah dengan tenang tanpa rasa bimbang atau takut,” kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Harapan itu disampaikan beliau sewaktu hadir mengucap selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci di Kompleks Tabung Haji (TH) Sepang, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan jemaah untuk menggunakan kesempatan semasa menjadi tetamu Allah dengan sebaik-baiknya.

“Elakkan pembaziran masa dengan perkara tidak berfaedah sebaliknya, penuhi masa terluang dengan banyak membuat amalan wajib dan sunat seperti berzikir, membaca al-Quran, berdoa dan bermunajat kepada Allah.

“Ibadat ini juga memerlukan tuan dan puan untuk lebih banyak bersabar, bertoleransi dan prihatin tanpa mengira warna kulit, bahasa, adat resam dan budaya.

“Ingatlah ibadat haji ialah suatu daripada ibadat dalam Islam. Bagi kita ibadat kita bagi orang bukan Islam, ibadat cara mereka. Kepada mereka agama mereka, kepada kita agama kita,” katanya.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussein Saeed Qattan.

Seramai 483 jemaah haji hadir pada majlis pelepasan berkenaan dan dijadualkan berlepas menerusi penerbangan KT60B (XY5794) jam 6.20 petang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah jam 9.55 malam (waktu Arab Saudi).

Selain itu, Dr Mahathir turut berpesan kepada jemaah haji Malaysia supaya mengikuti nasihat dan panduan kesihatan serta amalan pemakanan disarankan oleh TH dan Kementerian Kesihatan.

“Haji adalah ibadat memerlukan kekuatan fizikal dan emosi. Semasa musim haji, jutaan umat Islam dari pelbagai negara akan berkumpul di Tanah Suci yang keadaannya pasti sesak di samping cuaca panas.

“Tuan dan puan perlu berulang-alik ke masjid selain tawaf, sa’ie, melontar dan lain-lain ibadat sunat. Untuk semua ini tubuh badan yang sihat dan cergas diperlukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, jemaah haji Malaysia antara yang paling beruntung berbanding jemaah haji negara lain.

Katanya, dengan adanya TH, layanan dan urusan haji lebih teratur kerana semuanya sudah diuruskan dari awal hingga akhir oleh TH.

“Tahniah di atas pencapaian TH yang sentiasa berusaha untuk memastikan urusan haji berjalan dengan baik.

“Saya percaya ia bukanlah satu tugas mudah kerana ia satu urusan yang memerlukan penelitian kepada semua peringkat persediaan merangkumi keperluan jemaah haji sebelum berlepas, kebajikan mereka semasa di Tanah Suci sehinggalah mereka kembali semula ke tanah air,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, atas usaha TH, Malaysia berasa bangga menerima pujian dan pengiktirafan daripada Kerajaan Arab Saudi dan negara Islam lain.

“Sekali lagi, saya ucap syabas kepada TH atas komitmen diberikan dalam usaha mengekal dan menambah baik kualiti perkhidmatan kepada jemaah haji setiap tahun.

“Saya harap TH akan terus komited melangkah ke hadapan dengan usaha untuk meningkatkan tahap perkhidmatan, baik dari segi pengurusan haji, simpanan dan pelaburan agar ia sentiasa berada pada tahap yang cemerlang dan menjadi contoh kepada negara Islam lain di seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada pihak Kedutaan Arab Saudi ke Malaysia atas kerjasama diberikan terutamanya berkaitan dengan kebajikan jemaah haji Malaysia.

Katanya, bagi pihak warga negara Malaysia, beliau menghargai sokongan diberikan kepada TH selama ini terutama pelaksanaan Makkah Route yang memberi manfaat kepada jemaah haji negara ini sekali gus berharap hubungan antara kedua-dua negara ini berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 3:19 PM