Abdul Rahim Daud (dua kanan) bersama pegawainya menunjukkan dua pistol dan sepucuk senapang buatan sendiri dirampas daripada dua lelaki ketika sidang media di IPD Kota Bharu, hari ini. Foto Syamsi Suhaimi
Muhamaad Razis Ismail


DUA lelaki yang ditahan bersama dua pistol dan sepucuk senapang buatan sendiri dalam operasi polis di Kedai Lalat dan Padang Bemban, Kota Bharu pada Khamis lalu, memberi alasan kononnya untuk keselamatan diri dan menembak tupai.

Dalam operasi 2 pagi itu, dua lelaki berusia 24 dan 46 tahun berkenaan ditahan polis dalam dua serbuan berasingan.

Selain senjata terbabit, polis turut merampas vest polis dan gari.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, terdahulu pihaknya menahan seorang lelaki berusia 24 tahun di hadapan sebuah kedai makan di Kedai Lalat.

“Pemeriksaan lanjut terhadap suspek, polis menemui sepucuk pistol yang diselit di pinggang dan merampas seberkas kunci.

“Kita kemudiannya memeriksa kereta Perodua Viva milik suspek sebelum menemui gari, vest polis dan 32 bebola besi yang dipercayai peluru pistol terbabit,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, hari ini.

Menurutnya, polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah di Padang Bemban pada hari yang sama dan menahan seorang lelaki berusia 46 tahun bersama sepucuk pistol serta bebola besi.

“Pemeriksaan lanjut di sebuah stor berhampiran rumah itu menemui sepucuk senapang buatan sendiri,” katanya.

Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati dua pistol itu dibeli di negara jiran dengan harga RM800 setiap satu untuk keselamatan diri.

“Untuk pemilikan senapang buatan sendiri pula, suspek mendakwa ia untuk menembak tupai dan vest terbabit dibeli di bandar ini dengan harga RM85.

“Suspek direman sehingga 7 Ogos ini mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 4:48 PM