GAMBAR Hiasan
Siti Nor Hidayatidayu Razali


SEORANG pegawai polis kehilangan sepucuk pistol jenis Styer dan 15 butir peluru selepas rumahnya di Perumahan Pegawai Kanan Polis di Kemumin di Kota Bharu, dipecah masuk pagi semalam.

Kejadian disedari mangsa yang berpangkat Asisten Superintendan dan berusia 38 tahun pada 7 pagi selepas pulang menunaikan solat Subuh dari masjid.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, sebelum itu, mangsa keluar ke masjid di Pengkalan Chepa pada 5.30 pagi.

Katanya, selesai solat subuh, mangsa pulang ke rumah pada 7 pagi sebelum mendapati rumahnya dalam keadaan berselerak.

“Pemeriksaan di dalam rumah mendapati terdapat kesan umpilan di tingkap bahagian dapur dan sebuah beg pinggang yang disimpan di dalam bilik utama hilang.

“Sepucuk pistol jenis Styer C9-A1 bersama satu kelopak berisi 15 butir peluru, kad pengenalan, kad kuasa, lesen memandu, kad bank, empat utas jam tangan dan wang tunai RM950 yang berada dalam beg berkenaan turut dilarikan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM5,000 dan kedudukan rumahnya terletak bersebelahan dengan pagar utama perumahan polis.

Katanya, mangsa sebelum itu baharu pulang dari serbuan di sekitar Kota Bharu pada 1.30 pagi sebelum dia berehat dan tidur di bilik utama.

“Mangsa kemudian keluar pada 5.30 pagi untuk solat Subuh di masjid. Ketika kejadian tiada sesiapa di rumah kerana isteri dan anak mangsa berada di Pasir Mas.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian menemui beberapa kesan cap jari dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 9:22 PM