SUSPEK yang mencuri wang dalam tabung Surau Ar Raihan di Bandar Teknologi Kajang, Kajang. FOTO ihsan AJK surau
Nurul Hidayah Bahaudin


PANCING wang guna pembaris yang disapu gam. Itu taktik digunakan beberapa lelaki untuk mencuri wang dalam tabung di Surau Ar Raihan, Bandar Teknologi Kajang, di sini, dalam tiga kejadian berasingan.

Tiga kejadian yang berlaku pada 29 Jun, 3 Julai dan 25 Julai lalu itu disedari ahli jawatankuasa (AJK) surau berkenaan selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Pengerusi surau berkenaan, Mohd Naz’ri Mahrin berkata, melalui rakaman CCTV, pihaknya mendapati kejadian itu dilakukan beberapa individu berbeza kerana wajah mereka didapati berlainan.

“Berdasarkan rakaman CCTV, mereka dilihat masuk surau dengan memakai kasut pada awal pagi iaitu jam 2 pagi hingga jam 4 pagi.

“Mereka menggunakan pembaris yang disapu gam pada bahagian hujung untuk ‘memancing’ wang di dalam tabung berkenaan.

“Aksi mereka dilihat seperti mahir melakukan kegiatan itu apabila hanya mengambil masa beberapa minit,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd Naz’ri berkata, selepas menyedari kejadian kecurian pertama, pihaknya memperketatkan kawalan termasuk meminta beberapa AJK bermalam di surau itu, namun gagal menangkap penjenayah terbabit.

“Mereka (pencuri) tahu ada CCTV dalam surau ini, namun berani melakukannya. Jika dilihat pada rakaman itu, pencuri terbabit mungkin orang luar kerana saya tidak dapat mengenal pasti identiti mereka.

“Akibat kejadian itu, surau kehilangan ratusan ringgit wang sumbangan jemaah yang dikumpul dalam tiga tabung di surau ini,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Bandar Teknologi Kajang.

Menurutnya, kejadian kecurian tabung surau berkenaan pernah berlaku dua tahun lalu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Mohd Sabri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

“Siasatan lanjut dijalankan termasuk mengenal pasti identiti suspek,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 6:00 AM