KELIBAT buaya dilihat di sebuah rumah di Jalan Baji, Sarikei. FOTO KHALID LATIP
Khalid Latip


PENGHUNI sebuah rumah di Jalan Baji, Sarikeim, dikejutkan dengan kehadiran seekor buaya tembaga sepanjang tiga meter di bawah dapur rumah mereka, kelmarin.

Pemilik rumah, Suhaili Paie, 52, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9.20 malam ketika seorang daripada anaknya hendak memberi makan kepada kucing peliharaan.

“Sebaik tiba di dapur, anak saya terkejut selepas melihat objek hitam bergerak di bawah rumah dan apabila di suluh, dia mendapati objek itu adalah buaya.

“Cemas dengan kehadiran buaya, dia terus memaklumkan kepada kami sebelum melaporkannya kepada bomba,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Mahmuddin Narudin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, sembilan anggota dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan jam 9.22 malam.

“Setibanya di lokasi, kami mendapati reptilia itu berada beberapa meter dari rumah pengadu.

“Kami cuba menangkapnya tetapi haiwan itu menghilangkan diri ke dalam sungai berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 10:12 AM