Hadzlihady Hassan


BERGERAK secara solo dan mempunyai kepakaran untuk menghasilkan dadah bagi menampung hidup dengan menjual bahan terlarang terbabit.

Itu dilakukan lelaki yang digelar ‘otai’ dalam kalangan sindiket pengedaran dadah apabila dia mencari pendapatan dengan menjual dadah yang dimasak sendiri.

Bagaimanapun, perbuatan lelaki berusia 54 tahun itu terbongkar apabila ditahan dalam Op Ice Breaker oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di Taman Permai, Bukit Tengah, Bukit Mertajam Rabu lalu.

Dalam serbuan 2.30 petang itu, polis merampas pelbagai dadah bernilai RM1.14 juta di rumah teres dua tingkat yang disewa suspek dan menyita kereta Audi A6 bernilai RM80,000.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, suspek pada mulanya ditahan di hadapan rumah berkenaan dan hasil pemeriksaan polis menemui 78.6 gram heroin bernilai RM3,930 serta peralatan menghisap dadah daripada suspek.

Roslee (tiga dari kanan) menunjukkan dadah serta alat memproses dadah yang dirampas. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal

“Hasil pemeriksaan di tingkat bawah rumahnya, polis menemui 15 bungkusan plastik merah bertulis teh Cina mengandungi 15,300 gram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM769,120.

“Pemeriksaan lanjut di atas rumah pula menemui 14 paket plastik mengandungi 12,650 pil ekstasi bernilai RM379,500 selain peralatan dan mesin memproses dadah,” katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

Roslee berkata, siasatan mendapati suspek mempunyai kepakaran dalam memproses dadah dan dia melakukan kerja berkenaan secara solo di rumah yang disewa sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, polis turut menyita sebuah kenderaan jenis Audi A6 yang digunakan suspek dipercayai dibeli hasil dengan jualan dadah.

“Kita percaya dadah yang dirampas itu dijual untuk pasaran tempatan dan ia boleh digunakan oleh 89,400 penagih dadah.

“Suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau kini direman tujuh hari dan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 11:52 AM