FOTO hiasan
Norizuan Shamsuddin


BAPA durjana. Gelaran itu layak diberikan terhadap seorang lelaki yang sanggup menjadikan anak gadisnya berusia 15 tahun sebagai hamba memuaskan nafsu dengan mencabul mangsa sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, perbuatan terkutuk lelaki berusia 41 tahun terbongkar apabila remaja terbabit membuat laporan polis, Rabu lalu, selepas tidak tahan menjadi mangsa kerakusan bapanya.

Menurut sumber, kejadian didakwa dilakukan suspek sejak mangsa berusia 13 tahun di kediaman mereka di Paka, Dungun, sejak 2017 dengan kejadian terbaru berlaku awal Julai lalu.

“Suspek didakwa masuk ke bilik anaknya ketika isteri sedang tidur dan bertindak mencabul mangsa.

“Perbuatan itu dipercayai dilakukan suspek sejak mangsa berusia 13 tahun dan turut mengugut akan memukul mangsa sekiranya menceritakan kejadian itu kepada sesiapa termasuk ibu mangsa (isteri),” katanya.

Sumber berkata, susulan laporan diterima, polis berjaya menangkap suspek di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Paka, Jumaat lalu.

Katanya, siasatan sedang dilakukan dan mangsa juga sudah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.

“Suspek direman sehingga 8 Ogos untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 1:35 PM