AL-SULTAN Abdullah ketika melafazkan Warkah Ikrar pada istiadat pertabalan baginda di Istana Negara, baru baru ini. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. FOTO BERNAMA
AL-SULTAN Abdullah ketika melafazkan Warkah Ikrar pada istiadat pertabalan baginda di Istana Negara, baru baru ini. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. FOTO BERNAMA
BERNAMA

PAMERAN Raja Kita yang padat dengan maklumat, sejarah dan peranan Institusi Yang di-Pertuan Agong cukup signifikan dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ia pertama kali diadakan ketika Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-7.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, kira-kira 39 tahun lalu pameran itu disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong Almarhum Tengku Hajah Afzan Tengku Muhammad yang juga bonda Sultan Abdullah.

“Idea untuk mengadakan Pameran Raja Kita ini tercetus ketika kerajaan merancang untuk melaksanakan Istiadat Pertabalan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-7.

“Hari ini giliran Seri Paduka Baginda Tuanku pula merasmikan Pameran Raja Kita,” katanya pada majlis perasmian Pameran Raja Kita yang disempurnakan oleh Sultan Abdullah di Muzium Diraja, Jalan Istana, Kuala Lumpur.

Turut berangkat pada majlis itu yang bertempat di Istana Negara lama ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sebelum ini, Pameran Raja Kita diadakan di Muzium Negara.

Ini pameran ketiga berlangsung di Muzium Diraja yang juga Istana Negara Lama selepas pertama kali dianjurkan sempena pertabalan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 2011.

Mohamaddin berkata, lebih 150 artifak dan koleksi dari Istana Negara, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Istana Pahang, Perbadanan Muzium Pahang, Arkib Negara dan Jabatan Muzium Malaysia dipamerkan mulai hari ini hingga 5 November.

Pelbagai aktiviti pendidikan seperti [email protected], Bicara Galeri serta bengkel yang berkaitan institusi diraja turut akan diadakan sepanjang tiga bulan pameran itu berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 5:59 PM