BEE YIN. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


ORANG ramai termasuk Ahli Parlimen berhak menyuarakan pendapat dan pandangan terhadap kebimbangan operasi syarikat memproses nadir bumi, Lynas Corporation Ltd (Lynas) di Gebeng, Pahang.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, ini kerana isu alam sekitar dan kesihatan rakyat begitu penting walaupun terdapat pelbagai pandangan berbeza.

Menurutnya, kementeriannya akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai keputusan kerajaan terhadap operasi kilang berkenaan di Gebeng, Pahang selewat-lewatnya 15 Ogos ini sama ada sisa radioaktif daripada loji pemprosesan perlu dihantar ke negara asal Australia atau sebaliknya.

Beliau berkata, keputusan yang dibuat kerajaan hasil penelitian pelbagai sudut terhadap pandangan yang diberikan semua pihak termasuk menteri Kabinet yang turut melontarkan pandangan masing-masing.

“Saya juga sudah melontarkan pandangan mereka termasuk menteri Kabinet lain dan keputusan sudah dicapai menerusi majoriti.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar akan bertindak mengikut keputusan yang sudah dibuat Kabinet.

“Kerajaan juga akan menetapkan syarat lain terhadap syarikat berkenaan dan kini Lynas dalam proses pembaharuan lesen yang akan tamat pada 2 September ini mengikut prosedur yang sudah ditetapkan,” katanya.

Bagaimanapun, Bee Yin berkata, secara peribadi, keputusan yang dibuat kerajaan terhadap syarikat berkenaan bukan paling ideal, namun lebih baik daripada sebelum ini.

Katanya, walaupun keputusan sudah dicapai, kementerian akan mengadakan dialog bersama Ahli Parlimen untuk mendengar pandangan dan cadangan, hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh menyifatkan tindakan kerajaan terdahulu membenarkan kilang Lynas beroperasi di negara ini kerana diperdaya kerana menyangka ia adalah industri strategik.

Malaysia sebelum ini berpendapat kewujudan kilang nadir bumi itu akan memberi manfaat dan kebaikan kepada negara tetapi hakikatnya berlaku sebaliknya.

Menerusi surat terbukanya, Fuziah yang kini berada di Makkah berkata, sejak 2012, lebih satu juta tan metrik sisa terjadual dan 500,000 tan metrik sisa buangan radioaktif ‘water leach purification’ (WLP) disimpan di Gebeng yang bukannya struktur penyimpanan kekal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 7:34 PM