RAKAMAN Mohammad Iqmal mengutip sampah. Gambar kecil (Mohammad Iqmal Kiefli). FOTO Ihsan Ahmad Daniel Ahmad Edros.
Redzuan Muharam


“BUKAN niat saya untuk menunjuk kebaikan dibuat tetapi melakukannya atas rasa tanggungjawab,” kata Mohammad Iqmal Kiefli Mohd Jasmi, 19.

Mohammad Iqmal memberi reaksi mengenai videonya mengutip sampah di sebuah pusat beli-belah di ibu kota yang tular di laman sosial.

Menerusi video berdurasi 59 saat itu, Mohammad Iqmal dilihat mengutip sampah dibuang orang ramai di tangga pusat beli-belah berkenaan tanpa rasa malu sebelum membuangnya ke dalam tong yang disediakan.

Menceritakan perkara sebenar, Mohammad Iqmal berkata, dia seorang yang sukakan kebersihan dan tidak gemar melihat persekitaran sekeliling dicemari dengan sampah-sarap.

“Pada waktu itu, saya dan seorang lagi duduk rakan berada di tangga yang menjadi tempat istirahat orang ramai di pusat beli-belah berkenaan.

“Ketika mahu bangun dan beredar dari situ, saya ternampak banyak sampah seperti botol minuman, tisu dan akhbar di sekitar tangga itu. Jadi secara automatik, saya terus mengutipnya untuk dibuang ke dalam tong sampah yang disediakan.

“Ikutkan, itu bukan pertama kali saya bertindak sebegitu (membuang sampah) kerana sudah terbiasa melakukannya sejak dulu lagi cuma tak sangka pula rakan merakam seterusnya memuat naik video itu hingga tular di laman sosial,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohammad Iqmal berkata, sejak tularnya video berkenaan, ramai yang memberinya sokongan tetapi ada juga menganggap tindakannya itu sekadar satu lakonan untuk meraih perhatian warganet.

“Di sebalik komen positif, ada juga melemparkan pandangan negatif tetapi saya terimanya dengan hati yang terbuka.

“Diharap, mereka yang menonton dapat mengambil mesej positif daripada video berkenaan iaitu dengan menjadikan amalan mengutip sampah sebagai satu rutin dalam kehidupan seharian mereka.

“Sebagai rakyat Malaysia, menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga kebersihan tidak kira di mana saja termasuk kawasan tumpuan pelancong tanpa mengharapkan petugas pembersihan semata-mata,” katanya yang juga anak bongsu daripada dua beradik.

Sementara itu, Ahmad Daniel Ahmad Edros, 16 berkata, video berkenaan dirakam secara spontan pada 27 Julai lalu ketika dia dan Muhammad Iqmal keluar bersama.

“Setahu saya, dia (Muhammad Iqmal) memang seorang yang mementingkan kebersihan dan sensitif terutama apabila melihat sampah dibuang merata-rata.

“Jadi, tidak hairanlah jika dia bertindak sebegitu (mengutip sampah) cuma pada hari itu, saya tergerak hati untuk merakam video dan memuat naik di media sosial.

“Tak sangka pula video itu menjadi tular dan gembira jika warganet dapat mengambil mesej positif yang cuba disampaikan daripada video berkenaan,” katanya.

Setakat jam 10 malam ini, video dimuat naik Ahmad Daniel di Twitter itu meraih 527,000 tontonan , 64,700 tanda suka dan 13,200 ulang ciap oleh warganet.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 10:38 PM