Tan Kok Kwee (tengah) menyaksikan Shahrizan (kanan) dilantik pemangku Pengarah Maritim Perak menggantikan Wan Mat. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Tan Kok Kwee (tengah) menyaksikan Shahrizan (kanan) dilantik pemangku Pengarah Maritim Perak menggantikan Wan Mat. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


DUA lokasi di kawasan perairan Perak iaitu 30 batu nautika barat daya Pulau Jarak dan 30 hingga 40 batu nautika dari perairan Kuala Kurau dikesan menjadi lokasi panas pencerobohan nelayan dan penguat kuasa Indonesia.

Pengarah Sistem Pengawasan Laut Maritim (SWASLA) Lumut, Kepten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, kedua-dua lokasi itu turut dikesan menjadi tumpuan pencerobohan nelayan asing untuk menangkap ikan.

Menurutnya, situasi itu berlaku kerana hasil laut di kawasan berkenaan lebih banyak dan lumayan terutamanya perairan Pulau Jarak yang menjadikan ia bukan saja tumpuan nelayan tempatan malah nelayan asing.

“Kebanyakan kawasan tumpuan adalah di bahagian kira-kira 30 batu nautika barat daya Pulau Jarak kerana hasil laut lebih banyak dan ada kes (penahanan bot nelayan asing dan penahanan bot nelayan tempatan oleh penguat kuasa asing) namun lokasi ini masih dalam perairan negara.

“Di bahagian utara (Perak) di Kuala Kurau dan (dua) lokasi ini menjadi tumpuan nelayan tempatan dan nelayan asing mencari ikan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Maritim Perak di Ibu Pejabat Maritim Perak di Lumut hari ini.

Pada majlis itu, Komander Maritim Shahrizan Raman dilantik sebagai pemangku Pengarah Maritim Perak menggantikan Wan Mat yang dilantik sebagai Pengarah SWASLA Lumut, berkuatkuasa hari ini.

Ia disaksikan Timbalan Ketua Pengarah Logistik, Laksamana Madya (Maritim) Datuk Tan Kok Kwee.

Menurut Wan Mat, nelayan tempatan juga dinasihatkan supaya tidak berada terlalu jauh dari perairan negara supaya mereka dapat dilindungi dengan cepat jika terdapat kehadiran penguat kuasa asing.

Katanya, pihaknya juga sentiasa bersiap sedia melalui anggota dan aset sedia ada dalam melindungi warga maritim jika berhadapan bencana, keperluan operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta membanteras sebarang jenayah di laut.

“Kita meningkatkan rondaan berkala serta sentiasa bersedia untuk melindungi komuniti nelayan di perairan kita dan walaupun kawasan luas kita bekerjasama dengan agensi lain seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Kita juga meningkatkan komunikasi dengan nelayan dan mereka boleh menghubungi terus pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada bila-bila masa untuk menyalurkan maklumat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 12:31 PM