Laporan portal berita Harian Metro 28 Julai lalu.
Muhamaad Razis Ismail


“ALHAMDULILLAH, anak sudah sedar sejak lima hari lalu,” kata Ruzaini Bakar, 47, ibu Muhammad Hassif Daneal Muhammad Sofian, 12, yang koma selepas terjatuh basikal bulan lalu.

Kejadian berlaku berhampiran rumahnya di Taman Wangsa Mewangi, Gua Musang pada 5 petang, 17 Julai lalu.

Difahamkan ketika kejadian Muhammad Hassif dalam perjalanan pulang ke rumah selepas belajar mengaji al-Quran.

Ibu tunggal itu berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu bertarung nyawa 15 hari di Unit Rawatan Rapi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Katanya, ketika itu, dia tidak berhenti berdoa supaya anaknya kembali sedar seperti sedia kala.

“Alhamdulillah, 2 Ogos lalu, Tuhan makbul doa saya apabila anak sedar.

“Biarpun keadaannya masih belum pulih sepenuhnya, saya bersyukur anak mula menunjukkan perkembangan positif.

“Anak kini sudah dipindahkan ke wad biasa namun masih berada dalam pemantauan rapi hospital kerana masih bergantung dengan mesin bantuan pernafasan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, doktor memaklumkan keadaan kesihatan anaknya semakin baik berbanding hari pertama dimasukkan ke hospital itu.

“Bagaimanapun, hospital masih belum dapat pastikan sehingga bila anak di sini. Mungkin tahun ini saya akan menyambut Aidiladha di hospital.

“Pada masa sama, dua lagi anak masing-masing berusia 16 dan 18 tahun tinggal bersama keluarga kakak di Wakaf Bharu, Tumpat untuk sementara waktu,” katanya.

Ruzaini berkata, kini hanya anak sulungnya berusia 22 tahun bekerja di Gua Musang dengan mengambil upah membantu rakan berniaga untuk menyara kehidupannya.

“Saya hilang punca pendapatan kerana tidak dapat berniaga di pasar minggu hampir tiga minggu.

“Mujurlah keluarga dan orang ramai membantu hulurkan sumbangan untuk perbelanjaan di sini termasuk membeli tisu dan lampin pakai buang untuk anak,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh salurkan ke akaun Bank Islam 03063020123492 atas nama Ruzaini Bakar.

Harian Metro pada 28 Julai lalu melaporkan keadaan Muhammad Hassif yang koma selepas terjatuh basikal ditunggangnya.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Gua Musang sebelum dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) dan dirujuk ke HUSM untuk rawatan lanjut.

Berita berkaitan

Tolong doakan Muhammad Hassif...

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 1:01 PM