ANGGOTA bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mengesan Nora Anne yang dilaporkan hilang di sebuah resort di Pantai. FOTO Adzlan Sidek
Raja Noraina Raja Rahim


REMAJA perempuan warga Ireland yang hilang sejak 4 Ogos lalu di resort di Pantai, Seremban, dipercayai meninggalkan bilik penginapan dengan hanya memakai pakaian dalam.

Menurut penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 47, dia dimaklumkan mengenai perkara itu oleh ahli keluarga mangsa bagi memudahkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.

Katanya, dia turut terbabit dalam operasi itu sejak hari pertama kehilangan remaja itu.

“Ahli keluarga memberitahu ketika remaja itu hilang semua pakaian berada di dalam bilik dan dia hanya memakai pakaian dalam.

“Bagaimanapun, kehilangan remaja itu tidak dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di resort berkenaan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Tan berkata, dia menolak kemungkinan remaja itu diserang binatang buas kerana sepanjang 13 tahun menghuni di kampung berkenaan tidak pernah melihat kehadiran binatang buas di kawasan itu.

Katanya, dia mengambil inisiatif mencari mangsa sejak mengetahui berita kehilangan dilaporkan memandangkan dia mahir dengan selok-belok kawasan hutan itu.

“Saya ikut anggota SAR cari di seluruh kawasan hutan tapi masih tidak ditemui. Saya juga cari di kawasan kampung berdekatan juga tidak menemui sebarang petunjuk.

“Saya percaya mangsa masih berada di kawasan berdekatan,” katanya.

Operasi SAR remaja perempuan warga Ireland Nora Anne Quoirin, 15, diteruskan jam 8 pagi tadi.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 2:34 PM