Gambar tular Sarina bersama anak-anak di lobi HoSHAS.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


TIADA ibu sanggup membiarkan dua anak perempuan tidur hanya beralaskan kotak dan berbantalkan lengan di lobi hospital dalam keadaan tidak selesa dan sempurna.

Namun itu keputusan Sarina Endut, 40, kerana dia perlu menjaga suami Jamaluddin Uyub, 59, yang menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) akibat penyakit kanser usus sejak 24 Julai lalu.

Dalam masa sama dia juga tidak mampu menyewa bilik atau berulang alik dari rumahnya di Pulau Tawar, Jerantut yang jaraknya kira-kira 70 kilometer.

Selama tempoh dua minggu itulah Sarina terpaksa ‘turun naik’ dari wad di tingkat lapan ke lobi hospital bagi menjaga keperluan suaminya dan juga memantau keadaan dua anaknya, Nor Zahidah Jamaluddin, 8, dan Nor Nadiah Jamaluddin, 6.

Malah dia juga terpaksa berhenti kerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah di Jerantut kerana tidak mampu memberi komitmen terhadap kerjanya.

“Siapa yang tidak risau memikirkan keadaan dua anak yang ditinggalkan di lobi hospital, mereka juga tidak biasa di sini tetapi suami juga memerlukan bantuan saya untuk menguruskan dirinya.

“Saya terpaksa turun naik dari wad ke lobi untuk melihat anak-anak, memang penat namun sekurang-kurangnya saya dapat melihat mereka di depan mata,” katanya di Temerloh hari ini.

Katanya, selepas beberapa hari ‘menginap’ di lobi hospital, ada beberapa individu bersimpati dengan keadaan tiga beranak itu memberikan selimut kepada mereka.

Katanya, suaminya didiagnos dengan penyakit itu sejak beberapa bulan lalu dan sering berulang alik ke hospital untuk menerima rawatan.

Difahamkan Jamaluddin akan dipindahkan ke Hospital Selayang, Selangor tidak lama lagi untuk menerima rawatan lanjut.

Kisah Sarina menjadi perhatian selepas dimuat naik pengguna di laman sosial Facebook beberapa hari lalu dan tular serta mendapat pelbagai reaksi warganet.

Sarina berkata, dia terharu dengan keprihatinan yang diterima selepas kisahnya tular sehingga mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah.

“HoSHAS juga menawarkan sebuah bilik di Anjung Kasih di sini, untuk keselesaan saya dan anak-anak.

“Saya sangat terharu dan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan menghulurkan sumbangan kepada kami ,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Bank (0714 0138 4525 27) atas nama Jamaluddin Uyub.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 5:08 PM